Sekolah pondok


Sekolah pondok (Jawi: سكوله ڤوندوق) atau pesantren (Pegon: ڤسانترَين) ialah sebuah institusi pendidikan tradisional Islam yang banyak diamalkan di wilayah Nusantara seperti Malaysia, Indonesia dan selatan Thailand. Sistem pendidikan ini berfokuskan pengajian ilmu Islam dan biasanya mempunyai asrama. Sistem pondok yang diamalkan ini tiada had usia dan tidak mengira latar belakang sesiapa. Sesiapa sahaja boleh datang pada bila-bila masa untuk menuntut ilmu, meliputi semua ilmu akhirat.

Pengaruh sistem pengajian tradisional pondok dipercayai bertapak di Tanah Melayu sekitar abad ke-18 dan ke-19. Sifat berpegang kuat kepada prinsip agama, menghormati institusi Raja Melayu dan budaya khidmat kepada komuniti antara perkara yang ditekankan dalam pengajian warisan Islam ini, selari dengan penekanan adab dalam kehidupan orang Melayu. Budaya pengajian pondok memberi kesan langsung kepada identiti masyarakat Melayu Islam[1].

Kurikulum pengajian di pondok bersifat menadah kitab dari kulit ke kulit. Kitab yang digunakan ialah kombinasi dari kitab jawi dan Arab, contohnya dalam ilmu tauhid, kitab dalam bahasa Arab yang digunakan seperti Hasyiah al-Syarqawi, Hasyiah al-Bajuri dan syarah kepada Matan Jauharah. Selain itu, ilmu tasawuf juga ditekankan di sekolah pondok. Pendidikan tasawuf ini dapat dilihat apabila pengajar menekankan aspek kerohanian, termasuk melazimi solat jemaah dan bacaan wirid selepas solat.[1] Selain itu juga menawarkan seberapa bidang sampingan dengan tingkat yang berbeza-beza mengikut budi bicara pengajar selain mengaji yakni pelatihan kemahiran vokasional dan pembangunan jatidiri.[2]:47-70

  1. ^ a b Latifah Arifin (23 Disember 2018). "Pengajian pondok bentuk identiti Muslim, budaya Melayu". BHarian. Dicapai pada 31 Julai 2021.
  2. ^ Lukens-Bull, Ronald (2005). "A Peaceful Jihad: Negotiating Identity and Modernity in Muslim Java". New York: Palgrave Macmillan.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne